NICHE CAPITAL KEMBANGKAN OPERASI DI MALAYSIA, FOKUS SEMULA KE ATAS PASARAN TEMPATAN

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) — Niche Capital Emas Holdings Bhd, syarikat

pegangan pelaburan yang terbabit dalam penghasilan dan jualan barangan kemas dan

perhiasan emas, merancang mengembangkan operasinya di Malaysia dan memberi

tumpuan semula kepada pasaran tempatan.

Pengarah Urusannya, Mah Weng Kee berkata, ini kerana operasi syarikat itu

yang sedia ada di China menghadapi kekangan berikutan saingan sengit dan turun

naik dalam pasaran tukaran asing.

“Peningkatan saingan dalam operasi kami di China menyebabkan margin yang

rendah ketika syarikat meningkatkan usaha untuk mengekalkan penguasaan pasaran.

“Ketika ini, disebabkan kekangan modal, kami tidak akan mengembangkan

rangkaian runcit kami di China,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat

agung tahunan syarikat itu, di sini hari ini.

Mah berkata, Niche Capital mencatat kerugian sebelum cukai RM11.54 juta

untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 (FY13) berbanding kerugian RM3.43

juta sebelum ini.

Menurutnya, harga emas purata antarabangsa jatuh kira-kira 16 peratus pada

FY13 berbanding harga emas purata semasa 18 bulan itu yang berakhir 31 Disember

2012.

“Kejatuhan dalam harga emas purata menyebabkan kenaikan dalam pendapatan

untuk tahun kewangan di bawah kajian.

“Pada masa yang sama ia juga memberi kesan negatif kepada margin keuntungan

ke atas operasi syarikat di China,” katanya.

Oleh itu, kata Mah, syarikat itu akan merasionalisasikan perniagaannya di

Malaysia tahun depan bagi mengurangkan kerugian syarikat.

Selain itu, katanya, syarikat itu juga merancang mengembangkan kepakarannya,

terutama dalam peruncitan, reka bentuk dan keselamatan emas.

“Kami mungkin mengkaji bidang berkenaan dan kami berharap untuk terus

melibatkan diri tahun depan,” katanya.

— BERNAMA

NAW NAW NN ADS

06/23/2014 16-47ST